How can I not be proud of my three girls who appeared on the front covers of the newspapers three days in a row?
And to those who
mempertikaikan my credibility, please don't hate me just because I'm efficient :-)
If you didn't get to read about Ning, Nikki and Yanie, respectively, in the papers in the last three days, I've taken the liberty to cut-and-paste the articles here:
TERKENANG DETIK HITAMOleh Zul Husni Abdul Hamid
BERITA HARIAN
Selasa 20 Mac 2007
Ning Baizura simpati nasib pereka - Jovian MandagieMENGENANG perjalanan awal Jovian Mandagie yang dihimpit kontroversi mengingatkan Ning Baizura akan laluan yang pernah diukirnya dulu.
Saat diri dilambung pujian, impian untuk melebarkan sayap di luar negara pula terbuka luas namun dek tersilap percaturan, dia menerima hukuman yang maha dahsyat.
Disebabkan itu, apabila Jovian dihimpit dugaan, sebagai insan yang dekat dengan pereka muda berkenaan, Ning begitu berharap dia akan berfikiran positif dan menerima apa yang ditakdirkan dengan hati terbuka.
“Ada sebab semua itu berlaku. Saya memahami kesedihan dan kekecewaan Jovian apatah lagi dugaan itu berlaku ketika namanya sedang hebat digilap.
“Saya berharap Jovian positif menerima dugaan ini. Itu bermakna dia berada di landasan yang betul, jalan untuknya semakin terbuka kerana hasil kerjanya kini diperhatikan,” kata Ning.
Penyanyi bervokal soprano itu ialah antara selebriti tempatan yang selesa dengan rekaan pereka kelahiran Indonesia tetapi dibesarkan di Kuala Lumpur itu.
Peristiwa pahit yang menimpa pereka itu apabila rekaannya tidak dapat digayakan penyampai radio Era, Linda Onn ketika Anugerah Academy Ke-79, baru-baru ini begitu menguji.
Akui Ning, kontroversi membawa dua persepsi berbeza. Mungkin membawa kebaikan tetapi jika salah ditangani ia akan memakan diri sendiri.
Berdasarkan pengalamannya, jauh di sudut hatinya dia bersimpati dengan apa yang dilalui Linda Onn. Sebagai artis, Ning mengakui, imej dan keselesaan adalah antara perkara penting yang membantu menyerlahkan keyakinan seseorang selebriti.
“Saya cukup sedih dengan apa yang Linda Onn lalui kerana saya sendiri pernah meniti pengalaman seperti itu. Dia cuma menegakkan prinsip diri dan sebagai orang luar kita perlu menghormati alasannya.
“Mungkin dia tewas di sana tetapi tidak bermakna dia akan terus kalah di sini. Dari sudut moral dia sebenarnya sudah menang kerana berani mempertahankan diri,” katanya.
Ning yang akan beraksi dalam persembahan sempena Minggu Setiausaha di Shangri La Hotel ditemani Adibah Noor dan anak didiknya, Nikki ditemui pada majlis memperkenalkan koleksi Diva rekaan Rafflesia The Pearl Centre di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bertemakan Fergalicious Diva In Celebration Of Secretaries, majlis makan tengah hari yang akan berlangsung pada 12 April itu menyaksikan Ning menggayakan dua rekaan pereka berusia 21 tahun itu serta koleksi Diva bernilai RM380,000.
“Jovian ialah antara pereka muda yang saya kagumi. Dia kreatif dan paling penting, rekaannya sentiasa membuat saya anggun dan selesa.
“Saya yakin dengan kemampuannya dan biarpun masih baru, Jovian berjaya menyerlahkan identiti rekaannya. Dari situ, kami mencipta keserasian dan jauh di sudut hati, saya percaya Jovian mempunyai masa depan yang gemilang dalam bidang ini,” katanya.
Hikmah kontroversiBARANGKALI ada yang melihat populariti yang diraihnya adalah disebabkan kontroversi yang dicetuskan Linda. Namun, bagi Jovian, apa yang diraihnya hari ini adalah berkat kerja kerasnya membina nama.
Meskipun masih menyimpan perasaan terkilan dengan peristiwa itu, namun graduan Universiti Lim Kok Wing itu percaya, apa yang dinikmatinya adalah anugerah tidak ternilai daripada Tuhan.
“Apabila Linda menelefon dan meminta saya menyediakan rekaan untuk digayakan pada Anugerah Academy, saya yakin nama akan melonjak.
“Jalan untuk saya memang sudah terbuka namun tidak disangka lain pula yang terjadi. Saya terkilan juga kecewa apabila selebriti tiada kebebasan untuk memilih siapa pereka kegemaran mereka.
“Lebih membuat saya terkilan apabila pihak berkaitan tidak menyelidik asal usul saya. Saya anak Malaysia kerana bapa orang Kelantan cuma kebetulan saya dilahirkan di Indonesia,” katanya.
Katanya, nama Jovian Mandagie digunakan atas dasar komersial dan strategi untuk memasarkan rekaannya.
“Hakikatnya Jovian Mandagie ialah jenama tempatan namun membawa sentuhan Indonesia. Saya tidak boleh lari daripada hakikat itu kerana sebahagian diri saya mengalir darah Indonesia kerana ibu saya berasal dari sana,” katanya.
SEMANGAT MAHARANIOleh Zul Husni Abdul Hamid
BERITA HARIAN
Isnin 19 Mac 2007
Nikki belum mahu mengalah hadapi cabaranBENAR untuk meniti tangga kejayaan, banyak laluan berliku terpaksa ditempuhi. Perjalanan Nicolette Louisa Palikat atau lebih akrab disapa Nikki juga menempuhi keadaan yang sama. Setahun mengumpul doa, mengharap keajaiban akan singgah dan hari ini, sinar kejayaan mula berpihak kepadanya.
Bermula dengan kejayaan mengungguli Vokal Duo Pilihan, Anugerah Era, tahun lalu, karier Nikki semakin kukuh apabila dia sekali lagi dicalonkan bersama Zahid pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006. Meskipun tewas di tangan Mawi dan Jamal Abdillah, pencalonan itu berjaya memperkasakan nama gadis dari Sabah ini untuk berada dalam senarai popular.
“Pencalonan itu banyak membuka ruang untuk Nikki lebih dekat dengan peminat. Disebabkan masalah edaran, album pertama Nikki tidak sempat dipromosikan dengan berkesan. Dan itu membuatkan Nikki kurang dekat dengan peminat walaupun lagu kerap diputarkan.
“Percaya atau tidak, masih ada peminat yang bertanya bila album pertama Nikki akan berada di pasaran? Dengan siri promosi bersama ABPBH 2006 lalu, Nikki bersyukur kerana berpeluang untuk menjelaskan keadaan sebenar. Lebih gembira lagi, album sulung Nikki itu juga sudah kembali diedarkan,” katanya.
Sejak Maharani dilancarkan semula 28 November lalu, Nikki makin menyerlah dengan imej matang dan dewasa. Imej yang nyata bertepatan dengan peningkatan usianya yang menjangkau 22 tahun.
Sebagai bonus, juga melengkapkan lagi album yang memperkenalkan nama Nikki menerusi lagu
Pinta ciptaan Hazami dan
Caramu sentuhan Audi Mok, penyanyi itu menghadiahkan peminat dengan rakaman terbaru,
Drama kolaborasinya bersama Ning Baizura dan Yanie.
Turut dimuatkan adalah klip video
Caramu kerana ia mendapat permintaan tinggi peminat.
“Beberapa perubahan dibuat termasuk menukar kulit album yang lebih elegan dan ceria. Ramai berkata kulit album lama kurang sesuai, malah Nikki nampak tidak bermaya. Disebabkan itu, pengurusan bertindak membuat beberapa pembaharuan supaya Nikki tampil matang tetapi bergaya.
“Hasil perbincangan dengan pengarah seni, Isma Yusof, kami mencari formula terbaik dan pada masa sama memenuhi cita rasa peminat semasa. Syukur kerana ramai memuji, selain kehadiran Nikki makin disedari sejak
Maharani dilancarkan semula,” katanya.
Mahu terus pikat peminat
MAHARANI yang menjadi judul album pertamanya itu membawa makna yang terlalu besar buat Nikki. Disebabkan itu, walaupun sudah hampir dua tahun di pasaran, Nikki tidak pernah berputus asa untuk terus memperkenalkan album itu.
Bagi Nikki,
Maharani sarat dengan lagu berkualiti dan sayang jika ciptaan yang baik itu terbiar tanpa dipromosikan dengan berkesan.
“Nikki sendiri tidak sanggup melepaskan
Maharani begitu saja. Sudah terlalu banyak keringat yang dicurahkan, pastinya Nikki ingin melihat ia berhasil. Kerana itu, Nikki rela tidak tergesa-gesa merakamkan album kedua.
Maharani masih punya nyawa dan Nikki akan berusaha untuk memenangi hati peminat,” katanya penuh semangat.
Album itu pada mulanya diedarkan NAR Records pada 28 November 2005. Bagaimanapun, atas beberapa masalah, pengedaran album itu terhenti dan bermula 28 November 2006, proses pengedaran diambil alih Sony BMG Music Entertainment.
“Memang laluan Nikki penuh dengan dugaan tetapi Nikki tetap positif menghadapinya. Untuk apa Nikki pantas kecewa jika hati Nikki masih kuat percaya peluang mencipta nama sentiasa terbuka luas. Dalam hal ini, Nikki banyak berterima kasih kepada pengurus, Vernon Kedit dan Kak Ning.
“Mereka sentiasa meletakkan kepercayaan yang tinggi dan kerana itu, Nikki terus bersemangat untuk menyusun langkah,” katanya.
Ketika ini, pengurusannya memilih lagu Imaginasi sebagai kelangsungan untuk memanjangkan karier nyanyian Nikki yang mendadak naik dengan
Caramu.
“Agak sukar juga memilih single yang sesuai kerana lagu
Caramu terlalu kuat. Bimbang jika tersalah pilih nama Nikki akan tenggelam. Bagaimanapun, Nikki percaya
Imaginasi adalah lagu yang baik kerana ramai menaruh keyakinan terhadapnya.
“Keyakinan itu memberi harapan buat Nikki,” katanya.
BERDEBAR NANTI APRILOleh Norhayati Nordin
METRO AHAD
Ahad 18 Mac 2007
Diddy, Yanie menunggu album sulung mereka di pasaranJIKA Dr Fazley Yaakob ada memori di sebalik April, Diddy dan Yanie pula berdebar menunggu kemunculan album sulung yang dijangka di pasaran, April ini. Namun, mereka tetap lega kerana single pertama,
Saling Terpesona meletup di carta radio.
Boleh dikatakan dua bintang kelahiran program realiti TV ini ‘bernasib baik’. Dalam ramai-ramai yang dicungkil bakat mereka, hanya segelintir berjaya. Selebihnya ‘angkat kaki’ balik ke kampung.
Justeru, ini masanya bagi Diddy dan Yanie.
Bangkit membuktikan bakat mereka sebagai penyanyi. Jika diikutkan, tapak sudah mereka cipta dan selebihnya bergantung kepada sokongan peminat.
Sebaik
Saling Terpesona berkumandang di radio, nama Diddy dan Yanie kini mekar di hati peminat.
Ia bagai petanda baik buat Diddy dan Yanie dalam industri seni tanah air. Biarpun album masih dalam proses, penerimaan baik pendengar yang diterima mereka setakat ini berhasil. Masing-masing berjaya mengumpul peminat sendiri.
Bercerita mengenai albumnya yang memuatkan 10 lagu, Diddy berkata, selain Audi Mok menyumbangkan enam lagu, dia juga menantikan empat lagu lagi daripada komposer lain seperti Faizal (One In A Million), Cat Farish, Sharon Paul dan Damien (VE).
“Setakat yang saya dengar, semua lagu yang ada sedap didengar. Saya rasa ia mampu menambat hati peminat. Saya akan sedaya-upaya memberi yang terbaik kepada peminat.
“Tidak guna saya puas sendiri kalau peminat kurang menyukainya. Sebagai penyanyi, menjadi tugas saya memberikan hiburan terbaik buat mereka. Oleh itu, bagi album ini semua lagu diterima, saya dan pengurusan syarikat rakaman memilih yang terbaik saja.
“Saya juga memilih konsep pop dalam album ini kerana ia sesuai dengan jiwa saya. Boleh dikatakan pop dalam album saya nanti berbeza dengan pop sedia ada. Bukan untuk mengangkat album sendiri, tetapi tunggulah ia di pasaran. Bila sudah dengar, baru boleh cerita.
“Saya hendak terang lebih lanjut mengenai album ini pun sukar rasanya. Namun, secara keseluruhannya yang boleh dikongsi ialah ia sesuai didengar pelbagai peringkat umur. Apapun, saya puas hati dengan lagu dipilih,” katanya.
Rata-rata mengetahui Diddy sudah berpunya dan menjadi tunangan orang. Namun, kemesraannya dengan Yanie atau nama sebenarnya Siti Surianie Julkarim ketika menghadiri persembahan pentas mengundang banyak persoalan akan statusnya.
Lebih-lebih lagi, bila Diddy mengumumkan terpaksa menangguhkan perkahwinan bersama tunangnya, Allen Norazah Abdullah, 21, kerana ingin memberi tumpuan pada kerjaya. Apakah gandingan bersama Yanie dalam
Saling Terpesona menggugat kesetiaan Diddy pada si dia?
Diddy atau nama sebenarnya, Syamsul Hirdi Muhid berkata antara dia dan Yanie, hubungan mereka profesional sebagai rakan sesama artis. Soal perasaan tidak wujud sama sekali memandangkan dia tahu status dirinya.
“Tidak dinafikan gandingan saya dan Yanie serasi. Hubungan mesra kami hanya sekadar kawan biasa dan Yanie pernah berjumpa dan mengenali Allen. Malah, hubungan kami sedikitpun tidak terjejas dengan kehadiran Yanie. Antara kami macam biasa.
“Sekalipun tarikh perkahwinan saya dengan Allen ditunda, saya masih tetap mencintainya. Allen juga mengetahuinya dan alhamdulillah dia boleh menerima. Selain itu, dia (Allen) sentiasa memberi sokongan pada saya untuk berjaya.
“Lagipun, kami masih muda. Banyak perlu dibuat, terutama memantapkan ekonomi masing-masing lebih dulu. Justeru, wajar kami membina karier sebelum memasuki alam rumah tangga. Apapun, kasih saya masih teguh pada Allen,” katanya.
Pemuda berusia 22 tahun ini berkata, kini dia lebih senang memberi tumpuan pada rakaman albumnya. Buat masa ini dia baru habis merakam lagu ciptaan Audi Mok, Genggam Janji. Dia masih ada lima lagi lagu Audi Mok untuk dirakam.
Sehubungan itu, Diddy bersama pengurusan F-tersix diterbangkan syarikat J&J Mesra Travel & Tour ke Beijing, China pada 5 hingga 12 Mac lalu. Pemergiannya ke negara itu untuk membincangkan soal perancangan tajaan untuk pembikinan album sulungnya.
Menurut Diddy, jika semua perbincangan berjalan lancar, kemungkinan dia berpeluang menghasilkan klip video lagunya di China. Bukan itu saja, bagi peminat yang bertuah, mereka akan memiliki pakej percutian bersama Diddy ke China.
Sementara itu, Yanie yang ligat di pentas lakonan drama ketika ini mengakui proses rakaman albumnya sering tertangguh akibat kesibukan di set penggambaran. Ia tidak dapat dielak dan Yanie bersyukur kerana syarikat rakamannya memahami.
“Bukan saya sengaja hendak menangguhnya atau melewatkan proses penghasilan album. Namun, saya terikat dengan jadual penggambaran sitkom Fara arahan Aziz M Osman. Malah, pembabitan saya diketahui dan disokong syarikat rakaman.
“Kak Ning (Ning Baizura) meminta saya menghadiri sesi uji bakat diadakan untuk watak Wanda. Malah, selepas pergi uji bakat, Kak Ning yang teruja hendak tahu sama ada saya berjaya atau tidak. Apa yang saya lakukan bukan mengejar glamor, tapi minat.
“Sebagai mentor saya, Kak Ning cukup baik. Dia beri semangat dan suruh saya hadiri sesi uji bakat. Kata Kak Ning, kalau mahu jadi anak seni berjaya, saya perlu berani mencuba. Bukan saja menyanyi, saya harus cuba jadi pelakon dan pengacara. Cabang seni ini luas,” katanya.
Mengenai albumnya, gadis dari Sabah ini berkata, dia bangga albumnya mendapat sentuhan komposer ternama tanah air. Antara komposer terbabit ialah Aidit Alfian, Hazami, Sharon Paul, Helen Yap dan Audi Mok. Katanya, 70 peratus sudah siap.
“Saya bertuah menjadi artis kak Ning di bawah label Artistes United Records selepas Nikki. Seperti Nikki, perjalanan seni saya tidak berakhir begitu saja. Alhamdulillah, syarikat rakaman memahami keinginan saya untuk bekerja dengan komposer diidamkan,” katanya.
Sama seperti Diddy, pop lebih sesuai dengan vokal Yanie. Ditanya mengenai kemesraannya dengan bintang Akademi Fantasia 4 (AF4) itu, Yanie berkata, dia tidak kisah apa tanggapan orang.
“Semuanya gosip. Lagi pun, saya dan tunang Diddy saling mengenali,” katanya.
Data
NAMA: Siti Surianie Julkarim
PANGGILAN: Yanie
UMUR: 22 tahun
KERJAYA: Penyanyi dan pelakon
ASAL: Sabah
KONSEP ALBUM: Pop
PENCAPAIAN: Final Mentor 1
Data
NAMA: Syamsul Hirdi Muhid
PANGGILAN: Diddy
UMUR: 22 tahun
KERJAYA: Penyanyi
ASAL: Kuala Lumpur
STATUS: Bertunang
KONSEP ALBUM: Pop
PENCAPAIAN: Peserta AF4